#DUNSarawak: Bina Trek Lumba Untuk Manfaat Belia


KUCHING: Sukan bermotor yang semakin berkembang di Sarawak, kerajaan sepatutnya membina trek lumba untuk membolehkan golongan belia mengetengah bakat masing-masing memandangkan penganjuran dua perlumbaan tahun ini menggunakan jalan raya.

Sehubungan itu, Fazruddin Abdul Rahman (BN-Tupong) memohon kerajaan untuk mengenalpasti tanah untuk pembinaan trek perlumbaan sepanjang 800 meter dan lebar sekurang-kurangnya 50 meter.

Menurutnya, pelaburan tersebut tidaklah begitu besar kerana dapat memberi manfaat kepada ramai belia.

“Tahun ini sahaja terdapat dua penganjuran sukan bermotor menggunakan jalan raya sedia ada dan ianya telah menarik ribuan penonton dan penglibatan peserta dalam dan luar negara.

“Ini menunjukkan minat yang amat tinggi di kalangan belia-belia di Sarawak. Belia juga mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang permotoran,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Sebagai pengguna jelasnya, golongan belia harus dibawa bersama dalam merancang pembangunan trek tersebut.

“Ini adalah penting agar pembangunan ini dapat digunakan dengan sebaiknya. Saya pasti dengan adanya litar ini, aktiviti lumba ini akan dijalankan setiap bulan.

“Dengan kata lain perbelanjaan kerajaan tidak hanya menjadi ‘gajah putih’ tetapi ianya akan digunakan sebaiknya dan sekerapnya oleh belia,” ujarnya.

Fazruddin turut mencadangkan supaya kerajaan membuat ketetapan dimana perlumbaan yang dianjurkan di peringkat negeri wajib mendapat kelulusan kerajaan negeri menerusi kementerian atau agensi berkaitan.

“Kelab-kelab permotoran tempatan telah menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri kea rah hasrat ini,” jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA