#DUNSarawak: Bau, Lundu Perlukan Pusat Kemahiran Belia


KUCHING:Pusat kemahiran belia perlu dibina di daerah Lundu dan Bau untuk menampung keperluan golongan muda di kawasan tersebut kerana mereka terpaksa pergi jauh untuk belajar sekaligus memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Miro Simuh (BN-Serumbu) berkata, pada masa ini tidak terdapat pusat kemahiran atau pusat pembangunan belia di kedua-dua daerah tersebut.

Menurutnya, disebabkan dua kawasan tersebut bersempadan, amat wajar sekiranya pusat kemahiran tersebut dapat dibina.

"Saya amat berharap supaya kerajaan dapat mempertimbangkan di bawah bajet tahun 2017 untuk membina satu pusat kemahiran belia bagi belia-beliadi daerah Bau dan Lundu.

"Buat masa ini, tidak terdapat pusat kemahiran mahupun pembangunan belia di kedua-dua daerah ini.

"Penubuhan Centch adalah amat dialu-alukan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Selain itu jelasnya, pembinaan baharu Klinik Ibu dan Kanak-Kanak Daerah Bau perlu dibina segera memandangkan tapak cadangan sudah dikenalpasti.

"Buat masa ini, klinik terbabit menumpang sekian lama di bangunan Hospital Bau. Permohonan demi permohonan telah diajukan kepada pihak yang berkenaan, tetapi hanya menyepi tanpa khabar berita.

"Keadaan ini (menumpang) akan menyebabkan kanak-kanak atau ibu mengandung akan terdedah kepada pelbagai bawaan penyakit di kawasan hospital," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA