#DUNSarawak: 749,134 Hektar NCR Berjaya Diukur


KUCHING: Kerajaan berjaya mengukur secara perimeter kawasan seluas 749,134 hektar dan 5,543 lot individu yang melibatkan kawasan seluas 6,208 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, setakat 31 Oktober lepas, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) hanya berjaya melakukan pengukuran perimeter seluas 7,054 hektar dan 1,508 lot individu seluas 1,628 hektar.

"Penurunan ketara pencapaian pada tahun 2016 merupakan kesan kelewatan penyaluran peruntukan oleh kerajaan persekutuan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.

Menurutnya, peruntukan kerajaan persekutuan hanya diterima oleh JTS secara berperingkat mulai bulan Mei sehingga penghujung Oktober lepas.

"Sejumlah RM13,989,600 sahaja telah diterima setakat ini. Walaubagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2017 lepas telah pun mengumumkan peruntukan sejumlah RM30 juta bagi program ini diteruskan pada tahun 2017," ujarnya.

Beliau menjelaskan, kerajaan sehingga kini telah mengeluarkan sebanyak 45,097 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi tujuan kediaman melalui Program Pengukuran Kampung Tradisional.

"Ini adalah usaha berterusan kerajaan mengiktiraf dan menjamin hak penduduk di kampung-kampung yang telah lama wujud," jelasnya.

Berhubung dengan isu pemakai menoa dan pulau galau, beliau berkata, kerajaan negeri telah membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Jun 2013.

"Memandangkan Mahkamah Persekutuan belum lagi membuat keputusan maka perkara ini tidak boleh dibincangkan (Sub-Judice) pada masa ini," kata Awang Tengah. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA