#DUNSarawak: 5 Juta Pelancong Kunjungi Sarawak Tahun Depan


KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mensasarkan kehadiran lima juta pelancong ke negeri ini pada tahun depan dengan perbelanjaan RM10.68 bilion, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, sektor pelancongan Sarawak juga dijangka menjana pendapatan RM10.18 bilion atau peningkatan 3.1 peratus.

Malah menurutnya, pendapatan itu menyumbang 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas.

"Kementerian saya mensasarkan lima juta pelancong tiba di negeri ini dan RM10.68 bilion perbelanjaan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, Sarawak menerima 3.7 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini iaitu peningkatan 1.02 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Perbelanjaan yang dijana menerusi kehadiran pelancong ialah RM7.5 bilion. Berdasarkan trend sebelum ini, kehadiran pelancong akan meningkat kepada 4.7 juta pada bulan November dan Disember tahun ini," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA