#DUNSarawak: 2,876 Unit Rumah Mampu Milik Dibina Dalam Tempoh 5 Tahun


KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) merancang untuk membina 2,876 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sememangnya memberi keutamaan kepada HDC untuk mendapat tapak-tapak tanah di kawasan bandar dan pekan-pekan untuk membina rumah mampu milik.

Malah menurutnya, HDC akan terus mengemukakan permohonan untuk pemilikan tanah-tanah kerajaan di seluruh negeri bagi tujuan tersebut.

"Strategi utama kementerian ialah untuk memastikan HDC mempunyai bank tanahnya sendiri bagi menampung keperluan perumahan dalam tempoh jangka masa panjang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari membidas kenyataan Violet Yong (DAP-Pending) mengenai kewujudan PR1MA akan menjejaskan peranan HDC.

"Ini adalah tidak tepat sama sekali, sebaliknya kita mengalu-alukan penglibatan PR1MA untuk menyediakan rumah mampu milik di Sarawak bagi menampung keperluan golongan berpendapatan sederhana memandangkan permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh HDC dan pemaju swasta," ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebanyak 17,660 unit rumah yang melibatkan 14 buah projek PR1MA diluluskan untuk pelaksanaan di seluruh Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Satu jumlah yang besar sejak PR1MA menjejak kaki di Sarawak tiga tahun yang lepas," jelasnya.

Abang Johari turut menyambut baik cadangan Dato Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) mengenai pelaksanaan skim rumah inti untuk penduduk luar bandar termasuk di Jemoreng.

"Saya menyambut baik saranan ini dan kementerian saya dan HDc sedang merangka konsep perumah rumah inti tersebut.

"Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di tapak Skim Pembesaran Kampung Igan. Projek ini dirancang untuk dilaksanakan pada tahun depan setelah mendapat kelulusan dan peruntukan daripada kerajaan," kata Abang Johari.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA