#DUNSarawak: 194 Sekolah Usang Dibaikpulih & Dinaiktaraf


KUCHING: Sebanyak 194 sekolah usang di luar bandar negeri ini akan dibaikpulih dan dinaiktaraf pada tahun depan selepas rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan melihatkan petanda positif.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kerajaan negeri berjaya berunding melibatkan kerja-kerja menaik taraf sekolah usang di negeri ini yang memerlukan perhatian sewajarnya.

"Ia akan memberi manfaat kepada 48,000 pelajar. Kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM21 juta tahun depan untuk menaik taraf 72 sekolah usang," katanya ketika menyampaikan Belanjawan Bagi Tahun 2017 Bersempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan sekolah luar bandar di negeri ini.

Mengenai perkhidmatan kesihatan luar bandar, Adenan menjelaskan, seramai 329,000 penduduk luar bandar sekarang ini menikmati perkhidmatan klinik luar bandar tanpa pegawai perubatan.

"Kerajaan negeri akan membantu dengan menubuhkan 15 Pasukan Doktor yang meliputi 64 klinik luar bandar yang tidak mempunyai pegawai perubatan.

"Sistem klinik kluster turut diperkenalkan di Klinik Kesihatan Long Lama dan memberi perkhidmatan di 15 klinik berdekatan yang memberi manfaat kepada 35,000 orang. Oleh itu, kerajaan memperuntukkan RM2.8 juta tahun depan untuk tujuan ini," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA