#DUNSarawak: 18 Tahun Berpindah, Penduduk Balui Dahagakan Pembangunan Infrastruktur


KUCHING: Biarpun sudah 18 tahun berpindah ke skim penempatan semula Bakun BRS Sg. Asap, penduduk Balui masih berdepan banyak kekurangan terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur.

Sehubungan itu, Kennedy Chukpai Ugon (BN-Murum) memohon supaya kerajaan menaiktaraf jalan raya di kawasan tersebut termasuk penambahan lorong motosikal yang dilengkapi lampu jalan.

Malah menurutnya, rumah di Skim Penampatan Semula Bakun (BRS) Sg. Asap/Koyan semakin uzur dan memerlukan pendawaian semula.

"Sudah genap 18 tahun penduduk Balui dipindahkan ke skim penempatan semula Bakun BRS Sg. Asap namun masih banyak kekurangan yang perlu diberi perhatian," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2017), 2016 dan Usul Untuk Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan Bagi Perbelanjaan 2017.

Beliau berkata, penduduk di Skim Penempatan Semula Metalun dan Tegulang juga amat memerlukan jalan perhubungan lebih baik kerana pada masa ini akses ke kawasan tersebut melalui jalan tanah merah.

"Saya memohon agar jalan-jalan ini dinaiktaraf dengan kadar segera agar penduduk-penduduk yang telah mengorbankan tanah pusaka mereka demi pembangunan negeri dan telah berpindah ke skim penempatan ini dapat menikmati jalan perhubungan yang baik," ujarnya.

Mengulas mengenai prasarana kesihatan, Kennedy berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum cuma dilengkapi tiga buah klinik.

"Ketiga-tiga klinik ini semakin usang dan mempunyai kelengkapan yang amat terhad dan ini sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang makin bertambah.

"Saya memohon kepada kerajaan agar mengambil langkah untuk menaiktaraf klinik tersebut mengikut kesesuaian dan keadaan semasa," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA