#DUNSarawak: 116 Unit Flat Di Kuching Untuk Dijual


KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mempunyai flat khusus untuk dijual di enam lokasi di sekitar bandar raya ini, kata Menteri Muda Urbanisasi Datuk Talib Zulpilip.

Beliau berkata, enam lokasi tersebut merangkumi Taman Sri Makmur, Matang Batu 6 dengan lima unit, Taman Sri Harmoni, Matang Batu 8 (15 unit), Taman Sri Jaya, Matang Batu 9 (sembilan unit), Taman Malihah II, Taman Malihah (76 unit), Taman Sri Cahaya, Tandong (10 unit) dan Taman Sri Muhibbah, Batu 13 (seunit).

Malah menurutnya, HDC telah membuat tawaran untuk membeli unit kepada penyewa tersebut apabila tamat tempoh penyewaan mereka.

"Walaubagaimanapun, kebanyakan daripada penyewa menolak tawaran tersebut disebabkan sukar untuk mendapat pinjaman dan ada di antara mereka lebih berminat untuk membeli rumah atas tanah daripada rumah flat," katanya menjawab pertanyaan (BN-Tupong) Fazzrudin Abdul Rahman.

Fazzrudin bertanya mengenai cadangan kerajaan untuk menukar polisi berkenaan flat sewa kepada sewa beli agar dapat membantu menyelesaikan masalah pemilikan rumah bagi golongan berpendapatan rendah.

Menurut Talib lagi, penyewa juga lebih suka menyewa disebabkan kos sewaan yang rendah iaitu RM150 sebulan dan lokasi flat sewa juga berdekatan dengan sekolah dan tempat bekerja.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga masih mengekalkan status flat sewa yang sedia ada sebagai rumah transit untuk disewa.

"Ini adalah memandangkan masih terdapat banyak permintaan daripada golongan berpendapatan rendah dimana mereka masih belum mampu untuk membeli rumah dan juga sukar untuk mendapat pinjaman untuk membeli rumah," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA