DUN Sarawak: Dua Rang Undang-Undang Dibentang


KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung 21 hingga 30 November ini bakal menyaksikan Rang Undang-Undang Bekalan (2017) dan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 dibentang.

Menurut Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan membentangkan Rang Undang-Undangan Bekalan (2017) berasaskan bajet negeri.

"Bacaan pertama dan kedua akan dilakukan pada hari yang sama (21 November) manakala bacaan ketiga (30 November) untuk memberi ruang kepada ahli meneliti usul bajet," katanya.

Rang Undang-Undang Pengagihan Gas 2016 pula akan dibentang Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dengan bacaan pertama hingga ketiga pada 21 November.

Asfia menjelaskan, lapan usul akan dibentangkan yang dikemukakan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Dr Ting Tiong Choon (ADUN Pujut) mengemukakan usul berhubung minit mesyuarat Kementerian Kerajaan Tempatan apabila bertemu rakyat, David Wong (ADUN Pelawan) pula meminta kerajaan negeri menggesa kerajaan pusat memperoleh dana bagi memulakan projek landasan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar utama Sarawak, See Che How (ADUN Batu Lintang) memohon usaha mempertahankan integriti kewilayahan Sarawak dan Baru Bian (ADUN Ba'Kelalan meminta kerajaan negeri mengambil langkah untuk mengembalikan status asal Sarawak seperti termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia," ujarnya.

ADUN Bukit Assek, Irene Chang dan ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen masing-masing mengemukakan dua usul.

Persidangan kali ini juga menyaksikan 394 soalan dikemukakan melibatkan 319 dijawab secara lisan dan 75 secara bertulis.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA