DUN Sarawak: ADUN BN Lebih Lantang Kali Ini


KUCHING: Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak, Abdullah Saidol berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak becakap mengenai retorik politik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan sebaliknya lebih lantang membangkitkan isu kawasan dan hak-hak Sarawak.

Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu semua ADUN BN lebih bersuara berhubung perkara tersebut.

“Ketua Menteri menasihati semua ahli BNBBC kali ini agar lebih vokal dalam mendebat isu-isu terutama melibatkan masalah rakyat di kawasan dan kepentingan negeri Sarawak seperti autonomi dan penurunan kuasa.

“Ketua Menteri meminta wakil rakyat BN tidak cuak menyuarakan suara rakyat Sarawak dengan mengurangkan retorik politik kerana ia hanya akan membuat rakyat ‘menyampah’,” katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo, Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri dan ADUN Semop menambah, menangani masalah rakyat atau masalah setempat seperti kenaikan harga minyak masak dan sekolah usang terutama di luar bandar perlu dibincang dan diselesaikan dalam Persidangan DUN.

Menurutnya sebagai kumpulan terbesar dalam persidangan, suara ahli BNBBC perlu mencerminkan kewibawaan BN untuk menjuarai kepentingan rakyat.

Katanya persidangan kali ini sepatutnya akan ramai suara wakil BN bersuara berbanding pembangkang selepas memenangi 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan pada PRN lalu.

“Sebagai contoh kenaikan harga minyak masak, jangan kerana kita BN, kita mengangguk sahaja tetapi harus berani menyampaikan keresahan dan mungkin kemarahan rakyat di kawasan masing-masing kerana ada juga yang tidak berpeluang mendapat minyak bersubsidi,” jelasnya.

Selain itu katanya, Ketua Menteri meminta semua wakil rakyat BN agar membantu bakal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang tanpa mengira sama ada ia penyandang atau muka baharu.

“Satu perkara yang membimbangkan ialah janji-janji pilihan raya yang masih belum ditunaikan.

“Jika ada janji yang terlalu lama tidak ditunaikan ia sudah tentu akan menjejaskan prestasi BN pada PRU nanti,” katanya sambil menambah, BN Negeri ketika ini giat menunaikan janji-janji di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan menggunakan dana kerajaan negeri.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA