DUN Sarawak: 6 KRA Dikenalpasti Untuk Tingkatkan Pembangunan Sosio Ekonomi


KUCHING: Enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dikenalpasti jawatankuasa kabinet untuk merancakkan pembangunan sosio ekonomi di Sarawak tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, ia merangkumi perningkatan pelaburan dalam sektor industri terutama minyak dan gas serta industri perkayuan hiliran.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan negeri perlu mempunyai bekalan minyak dan gas yang mencukupi untuk memenuhi keperluan dalam meningkatkan pelaburan.

“Untuk itu, kerajaan negeri akan terus berunding dengan PETRONAS untuk memastikan bekalan minyak dan gas berterusan bagi pembangunan lebih banyak industri di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan Belanjawan Bagi Tahun 2017 Bersempena Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Industri berasaskan perkayuan pula jelasnya, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan jumlah industri perkayuan hiliran di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kerajaan negeri akan memperkenalkan polisi industri perkayuan untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti hiliran.

“Untuk permulaan, RM5 juta diperuntukkan tahun depan untuk mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Perkayuan Hiliran. Pusat ini bertanggungjawab meningkatkan teknologi sedia ada dan inovasi yang boleh mengukuhkan industri berasaskan kayu di Sarawak,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri akan terus meningkatkan dan mengukuhkan taman industri di Rantau Panjang, Sibu dan Demak Laut.

“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan tahun depan untuk pelaksanaan projek ini,” jelasnya.

Bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan di negeri ini, Adenan menjelaskan, strategi promosi dan pelaburan perlu dijalankan secara lebih efektif.

“Kita akan meningkatkan inisiatif promosi, RM1.8 juta disediakan pada 2017 untuk aktiviti promosi pelaburan,” kata Adenan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA