Dua Wanita "Viral" Berita Palsu Tampil Mohon Maaf



KUCHING: Dua wanita yang memuat naik berita palsu di akaun Facebook milik mereka mengenai sindiket penjualan organ di Kampung Daun Singai, Bau yang menyerah diri kepada polis semalam kerana mem”viralkan” berita palsu sehingga mencetus kerisauan orang ramai tampil membuat permohonan maaf kepada orang ramai hari ini.

Mereka telah memuat naik catatan permohonan maaf tersebut menerusi akaun Facebook masing-masing.

Catatan permohonan maaf tersebut antara lain turut menasihatkan orang ramai supaya tidak dengan sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya dan seterusnya menyebarkan ke laman sosial.

Semalam, kedua-dua wanita terbabit masing-masing berusia 18 dan 27 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau petang semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar dalam kenyataannya kepada media semalam, mereka ditahan kerana telah menimbulkan kegusaran masyarakat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor juga menegaskan mengenai kesan membuat laporan palsu dan menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang sepenuhnya.

Oleh itu, Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah mengenai penyebaran berita palsu yang mungkin akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil kepada setiap individu tanpa kompromi, lapor sebuah akhbar tempatan.

Kes menyebar maklumat palsu akan disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA