Dua Sahabat Diserang Ketika Menikmati Minuman Di Kuching



KUCHING: Dua sahabat yang sedang asyik berbual sambil menikmati minuman mereka di pusat bandar raya terpaksa menyelamatkan diri masing-masing apabila diserang sekumpulan lelaki kelmarin.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 27 dan 35 tahun itu pada mulanya tidak menyedari kehadiran kumpulan terbabit sehingga mereka tiba-tiba diserang sekitar jam 10.30 malam.

“Ekoran itu, kedua-dua mangsa yang cuba menyelamatkan diri masing-masing gagal berbuat demikian apabila kumpulan terbabit berjaya menahan mereka dan terus membelasah mereka (mangsa) sebelum beredar.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu kedua-dua mangsa selain turut menghubungi pihak hospital,” kata sumber.

Difahamkan, seorang daripada mangsa yang berusia 35 tahun sehingga berita ini ditulis semalam masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala seorang lagi hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Ketika ditemui pemberita, kedua-dua mangsa tidak mengenali ahli kumpulan terbabit mahupun mengetahui punca mereka diserang.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA