Dua Peratus Majikan Gagal Bayar Gaji Minimum


KUALA LUMPUR: Hanya dua peratus atau 171 daripada 7,214 majikan di negara ini gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata rekod itu bersandarkan aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkanun yang dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober lalu. Daripada jumlah itu, katanya, 18 majikan di Semenanjung Malaysia didapati gagal mematuhi perintah berkenaan, manakala masing-masing 88 dan 65 majikan di Sabah dan Sarawak.

"Sementara sejumlah 7,043 majikan yang diperiksa sudah mematuhi perintah berkenaan iaitu 3,793 majikan di Semenanjung Malaysia, Sabah (1,600) dan 1,650 majikan di Sarawak," katanya menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tarikh kuat kuasa PGM 2016 adalah mulai 1 Julai lalu ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja, serta mengekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali perkhidmatan domestik seperti terkandung dalam PGM 2012.

Mengikut PGM 2016, kadar gaji minimum bulanan ditetapkan RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA