Ditetak Hanya Kerana Bantu Kawan


KUCHING: Gara-gara cuba membantu rakan yang dibelasah sekumpulan individu tidak dikenali, seorang lelaki cedera akibat ditetak dalam satu insiden awal pagi kelmarin.

Menurut sumber, insiden berlaku di sebuah kelab malam di Sekama di sini apabila mangsa bersama beberapa rakannya berkunjung ke kelab malam tersebut Ahad lalu.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20-an semasa kejadian tersebut cuba menghalang sekumpulan lelaki bertindak membelasah rakannya di luar kelab malam itu sekitar jam 1 pagi.

“Bagaimanapun dia sebaliknya yang mengalami kecederaan parah apabila ditetak di kepala serta beberapa bahagian badannya menggunakan senjata tajam.

“Insiden tersebut bagaimanapun berjaya diredakan oleh beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.

Mangsa dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang selepas dua hari menerima rawatan di HUS.

Dengan diiringi rakan serta ahli keluarganya, mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan ada menerima laporan dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA