Dapat 100 Ribu Likes, Beng Kor Tubuh Parti Merdeka Sarawak


KUCHING: Penggendali laman Facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021', Beng Kor merancang untuk menubuhkan parti politik baharu dikenali Parti Merdeka Sarawak.

Beliau bagaimanapun berkata, pendaftaran parti baharu itu hanya akan dibuat sekiranya laman Facebook 'Parti Merdeka Sarawak' mendapat 100,000 likes atau lebih.

Menurutnya, maklum balas dan sokongan masyarakat adalah amat penting sekiranya sesuatu parti baharu hendak ditubuhkan.

"Saya memang hendak tubuh parti ini (Parti Merdeka Sarawak) pada masa akan datang.

"Kalau ada 100,000 likes, saya akan mendaftarkan parti ini. Kalau ramai sokong saya akan tubuh," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Beng Kor berkata, beliau tidak akan bertanding kerana tumpuan hanya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ini kerana kita dapat melihat daripada 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tidak ramai yang bersuara mengenai hak Sarawak terutama melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berhasrat untuk mengadakan ceramah mengenai MA63 dan hak Sarawak di seluruh negeri.

"Namun perkara ini (ceramah) bergantung kepada kemampuan kewangan. Saya memang berhasrat untuk adalah ceramah di seluruh negeri ini," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA