Dakwaan Jual Beli Bayi: KPWKM Gesa Polis Segera Siasat



PUTRA JAYA : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera menyiasat dan menahan semua pihak yang terbabit dalam urus niaga jual beli bayi di negara ini jika dakwaan itu benar.

Merujuk laporan bertajuk 'Malaysia: Bayi Untuk Dijual-101 Timur' yang disiarkan oleh Al-Jazeera bermula semalam, kementerian itu mengecam sekeras-kerasnya sebarang aktiviti penjualan bayi yang dilakukan di negara ini.

Unit Komunikasi Korporat KPWKM dalam satu kenyataan hari ini, berkata sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, pihaknya memang memandang serius isu terbabit.

"Urus niaga ini bercanggah dengan Artikel 35 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan juga Protokol Pilihan berkaitan penjualan kanak-kanak, pelacuran dan bahan lucah terhadap kanak-kanak.

"Malaysia mempunyai komitmen untuk mengambil segala langkah bagi mencegah kanak-kanak daripada (menjadi mangsa) aktiviti penjualan dan pelacuran," kata kenyataan berkenaan seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), katanya, menetapkan mana-mana orang terbabit dalam pemerdagangan kanak-kanak, melakukan kesalahan yang boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sekiranya dibuat bagi tujuan eksploitasi seksual atau pelacuran pula, pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 43(1)(aa) akta sama, iaitu denda RM50,000 atau penjara sehingga 15 tahun atau kedua-duanya," kata kementerian berkenaan.

Dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 baru-baru ini, KPWKM juga memasukkan elemen yang membolehkan Malaysia melaksanakan konsep 'Pemeliharaan Berasaskan Keluarga' (PBK) yang mengutamakan penjagaan kanak-kanak oleh keluarga dan menjadikan institusi kebajikan sebagai pilihan terakhir.

"KPWKM akan menubuhkan dua jawatankuasa dalam masa terdekat, iaitu jawatankuasa pemandu dan teknikal yang akan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan dalam melaksanakan PBK," katanya.

Bagi tujuan pelaksanaan konsep itu, KPWKM menyarankan kerajaan mempermudahkan prosedur pengambilan anak angkat dan penjagaan bagi memudahkan rakyat Malaysia menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan di rumah anak yatim.

Katanya, pengambilan anak angkat adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara, manakala prosedur pemeliharaan pula di bawah KPWKM.

"Dengan mempermudahkan prosedur, KPWKM yakin ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat tidak akan mengambil risiko membeli anak seperti dilaporkan Al-Jazeera.

"KPWKM meminta ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat atau anak pelihara supaya menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah untuk mendapatkan nasihat pegawai JKM dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.

"KPWKM akan berusaha membantu ibu bapa terbabit mendapatkan anak melalui kaedah yang betul dan akan membimbing mereka cara yang paling baik untuk menjadi ibu bapa penyayang," katanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA