Curi Kereta, Penganggur Diberkas


MIRI: Seorang penganggur disyaki terlibat dalam kes curi kereta berjaya diberkas polis petang kelmarin.

Berikutan tangkapan itu, suspek yang berusia 29 tahun dari Jalan Mimosa di sini telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Terdahulu menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 4.30 petang, 16 November lalu di Jalan Mimosa di sini sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Khor Hang Seng telah berjaya menahan seorang lelaki.

“Tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan satu laporan polis yang diterima Balai Polis Pusat Miri berhubung satu kes kecurian kenderaan.

“Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja dengan nombor plat QSF27 berwarna coklat emas daripada milik suspek kerana dipercayai kenderaan curi,” katanya kepada media di sini semalam.

Sementara itu kata Khoo, polis membuat pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit mendapati nombor plat yang digunakan iaitu QSF 27 adalah palsu, manakala nombor plat asal adalah QMJ7xx.

Justeru katanya, suspek akan disiasat lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau menjelaskan kepada orang awam bahawa perbuatan memasang atau menggunakan nombor plat palsu pada kenderaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 108 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sekiranya didapati bersalah, seseorang itu boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau lanjut.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA