CUEPACS Harap Tiada Lagi Sektor Kerajaan Diswastakan


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap tiada lagi sektor kerajaan yang akan diswastakan, kata Presidennya Datuk Azih Muda.

Beliau berkata dasar itu dilihat mampu menjejaskan peluang kepada rakyat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan apabila sektor awam yang diswastakan lebih banyak diisi rakyat asing di samping ketidakyakinan pihaknya kepada institusi yang mengambil alih sektor awam berkenaan.

"Cuepacs memohon supaya kerajaan menyemak semula cadangan penswastaan yang dicadangkan oleh pihak tertentu jika mereka mempunyai agenda," katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs di sini, pada Selasa.

Baru-baru ini, Azih berkata terdapat cadangan untuk menswastakan Jabatan Dietetik dan Sajian di hospital kerajaan yang akan memberi kesan kepada kebajikan lebih 2,000 pembantu penyediaan makanan dan pegawai dietetik di hospital kerajaan seluruh negara.

Sementara itu, Azih turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menjelaskan bayaran insentif penguat kuasa Jabatan Imigresen sebanyak RM200 sebulan yang menurutnya belum dibayar sejak kerajaan meluluskan bayaran itu kepada pegawai imigresen yang layak.

"Mereka berkhidmat kepada negara siang dan malam malah berdepan dengan risiko," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata Cuepacs menyokong cadangan Peguam Negara supaya hukuman berat dikenakan kepada individu yang mengganggu tugas penjawat awam dan menggunakan kekerasan secara sengaja.

Azih berkata hukuman berat perlu untuk menjaga imej kerajaan dan penjawat awam.

- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA