Clinton Mengaku Kalah, Trump Sah Presiden AS Baharu


WASHINGTON DC: Ibarat senario Brexit melanda Britain apabila ‘keluar’ daripada Kesatuan Eropah (EU), begitulah situasi politik semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45.

Pemilihan jawatan tertinggi negara itu menyaksikan calon Parti Republikan, Donald Trump mendapat sokongan kuat daripada pengundi sekali gus mengenepikan calon popular menerusi media sosial, Hillary Clinton.

Wanita tersebut seperti sudah mengaku kalah selepas dilaporkan tidak berada di ibu pejabat parti Demokrat di New York lewat Selasa (petang Rabu waktu Malaysia) untuk menyaksikan sendiri keputusan pilihan raya presiden itu.

Selain itu, jurucakapnya mengesahkan bahawa Clinton tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan hari ini. Ribuan penyokong beliau turut dilihat menangis tidak mempercayai keputusan pilihan raya cukup sengit tersebut.

Manakala Trump walaupun teruk dikutuk di media sosial, namun menang di semua kawasan majoriti pengundi kulit putih, sekaligus menunjukkan rakyat Amerika kini memilih calon berhaluan kanan daripada calon liberal demokrat.

Ekoran itu, bursa saham di seluruh dunia menjunam teruk kerana pasaran kewangan tidak bersedia menerima hakikat seperti pernah dialami apabila pengundi Britain mengundi untuk ‘keluar’ daripada blok EU baru-baru ini.

Peristiwa dikenali sebagai ‘Britain Exit’ atau Brexit itu menyebabkan pelabur panik sampai hampir menjejaskan suasana politik global. Mata wang pound Britain hingga kini mengalami kejatuhan terburuk dalam sejarah.

Hari ini, dolar Amerika Syarikat (AS) dan pasaran saham global merudum dahsyat berikutan kebimbangan pelabur dari seluruh dunia terhadap kemungkinan kemenangan secara mengejut Trump yang tidak diramal banyak pihak.

Setiap saluran televisyen mengunjurkan pilihan raya Presiden AS kali ini begitu sengit daripada jangkaan ramai, menyebabkan pelabur bergegas memindahkan model pelaburan mereka kepada aset yang lebih selamat.

Tindakan pelabur itu melonjakkan pasaran bon dan emas, manakala mata wang peso Mexico merekodkan kejatuhan besar apabila North Carolina yang selama ini dianggap kubu kuat Clinton memberi kemenangan kepada Trump.

Sehingga 0410 GMT (12.10 tengah hari Rabu waktu Malaysia), Trump mendahului dengan 276 berbanding pesaingnya 218, setelah hanya beberapa pusat pengundian utama sahaja belum mendapat keputusan muktamad.

Calon presiden memerlukan 270 undi untuk menang. Niaga pasaran hadapan AS dilaporkan susut lebih 4.5 peratus, nilai kerugian yang menyerupai ketika rakyat British mengundi untuk ‘keluar’ daripada EU pada awal Jun lalu.

Senario kali ini mengakibatkan bursa saham kerugian trilion dolar. Pasaran bimbang bahawa kemenangan Trump boleh menyebabkan kegawatan ekonomi dan perdagangan global, serta tidak rangsang Rizab Persekutuan AS.

Di Korea Selatan, pihak berkuasa negara itu terpaksa campur tangan untuk menstabilkan mata wang won mereka, dan peniaga khuatir jika bank pusat di seluruh dunia akan turut campur tangan untuk meredakan kebimbangan.

Suasana di Mexico pula jauh lebih membimbangkan apabila kadar tukaran peso menjunam lebih 12 peratus berbanding dolar AS untuk pergerakan harian terbesar dalam tempoh sejarah dua dekad mata wang tempatan itu.

Mexico bimbang kemenangan Trump akan menjejaskan eksport negara itu. Saham Asia juga terjejas teruk, dengan indeks saham Asia Pasifik turun lebih tiga peratus pada satu ketika manakala Nikkei tenggelam hampir lima peratus.

Namun, mata wang yen Jepun memberi reaksi terbesar terhadap kemungkinan kemenangan Trump apabila dolar AS susut 3.5 peratus berbanding ¥101,70, manakala euro EU pula melonjak 2.2 peratus kepada AS$1,1265.

Sementara itu, proses pengundian dan pengiraan undi bagi Pilihan Raya Presiden AS dijalankan dengan kawalan keselamatan dan perlindungan tahap tertinggi yang menjadikannya hampir mustahil untuk dimanipulasi.

Apabila maklumat pengundi yang berdaftar disahkan di sesebuah pusat pengundian, pemilih kemudian akan diberikan sekeping kertas undi yang betul berdasarkan kawasan dari mana mereka datang.

Kertas undi ini akan disahkan sekali lagi oleh pegawai pilihan raya tempatan sebelum dipangkah oleh pengundi, dimasukkan ke dalam samput surat dan diletakkan di dalam peti undi.

Semua berlaku dalam bilik yang diperakui sebagai selamat, di bawah pemantauan beberapa pegawai polis, pegawai pilihan raya setempat dan wakil parti politik yang bertanding.

Ia satu proses yang berjalan dengan lancar dan telus, kata Lembaga Pilihan Raya Cuyahoga County di Cleveland. Kebanyakan pengundi boleh keluar dan masuk dari pusat pengundian dalam tempoh maksimum 10 hingga 15 minit.

Hanya sebuah pasukan dari kedua-dua Parti Demokrat dan Republikan dibenarkan untuk mengosongkan kotak-kotak undi di sebuah gudang yang terletak di tempat lain.

Mengikut undang-undang beberapa buah negeri, proses pengundian awal dibuka sehingga 19 hari sebelum hari pengundian sebenar. Ia kemudian diimbas dan dikira oleh mesin besar yang boleh menampung banyak kertas undi.

Namun, jumlah undi awal yang diperoleh tidak akan dijumlahkan sehingga proses pengundian ditutup pada hari pengundian sebenar iaitu hari Selasa minggu kedua pada November.

Mesin-mesin itu mempunyai kad memori yang ditarik keluar setiap malam untuk merekodkan undi terbaharu. Bagi setiap mesin, ia ada wakil Demokrat dan Republikan yang meletakkan kad memori dengan cara selamat.

“Apabila pemilihan ditutup secara sah, mereka akan tarik keluar kad memori itu dan memuat naik jumlah undi,” kata Brent Lawler, pengurus perkhidmatan calon dan pengundi di sebuah pejabat pilihan raya negara itu.

Beliau berkata proses pengiraan undi adalah selamat kerana mesin tidak dihubungkan dengan Internet dalam apa jua cara. Setiap bilik pula malah mengandungi kertas undi yang juga dikawal ketat setiap masa.

“Sepanjang tempoh 16 tahun saya berada di sini, menguruskan pengundi tidak hadir setiap kali pilihan raya, adalah amat mustahil untuk memanipulasi proses pengiraan undi,” kata Lawler.

Ia sekali gus menepis dakwaan Trump yang berulang kali mendakwa konon pilihan raya presiden pada tahun ini dimanipulasikan dan enggan mengesahkan sama ada bakal menerima keputusan tersebut jika beliau tewas.

Trump turut menggesa penyokongnya supaya memantau pusat pengundian sehingga proses pembuangan undi selesai apabila mendakwa berlaku ‘penipuan pengundi secara meluas. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA