China Pelabur Sektor Perkilangan Kedua Terbesar - PM


China merupakan pelabur kedua terbesar Malaysia dalam sektor perkilangan, dengan pelaburan sebanyak RM2.4 bilion dalam 20 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata China terlibat dalam menyokong beberapa projek perdana, yang akan memainkan peranan besar dalam transformasi Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi dan melepasinya.

Antara lain, Malaysia juga berbangga menjadi lokasi pilihan beberapa syarikat besar China seperti China Machinery Import and Export Corporation, Alliance Steel, Sinohydro Corporation Ltd, Comtech Solar International dan Longi.

"Walaupun ekonomi dunia berhadapan tempoh yang sukar, kerjasama Malaysia dan China semakin kukuh," kata Najib pada majlis makan tengah hari Forum Perniagaan Malaysia-China bertema 'Memperkukuh Kerjasama, Membangun Peluang', yang dihadiri lebih 400 ahli perniagaan China dan Malaysia di sini pada Selasa.

Najib yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China sejak Isnin, juga berkata syarikat dari China telah banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia, seperti juga sumbangan syarikat Malaysia dalam pertumbuhan China.

Beliau berkata jumlah dagangan Malaysia dengan China juga meningkat dua peratus antara Januari dan Jun berbanding tempoh yang sama pada 2015.

Antara projek perdana yang disertai China ialah bandar raya bawah tanah bersepadu yang dikenali sebagai 'Bandar Malaysia' yang dibangunkan bersama oleh China Railway Group Limited (CREC) bersama Iskandar Waterfront Holdings, dan pembinaan Melaka Gateway, projek pembangunan mega oleh Powerchina International Group dengan KAJ Development.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat lain yang terlibat dalam sektor perkhidmatan Malaysia termasuk Country Garden dan Greenland Group dalam hartanah, Xiamen University dalam pendidikan, manakala dalam komunikasi, ZTE Corp serta Huawei Centre of Excellence.

Beliau berkata berdasarkan hubungan perniagaan dan udara yang kukuh, hubungan perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara dijangka bertambah makmur.

"Dan, menerusi hubungan udara yang lebih luas hari ini, dengan Malaysia Airlines dan AirAsia kini menyediakan perkhidmatan ke lebih banyak bandar di China, selain perkhidmatan penerbangan sewa khas dari Guangdong ke Melaka mulai bulan lepas, akan menggalakkan hubungan baharu," katanya.

Najib berkata Malaysia juga menawarkan penyambungan yang tiada saingannya selain berada pada kedudukan sebagai rakan perniagaan strategik di ASEAN, yang secara kolektifnya merupakan ekonomi ketujuh terbesar dan diunjur meningkat ke tahap keempat terbesar di dunia pada 2050.

Lebih 1,500 syarikat Malaysia kini beroperasi di ASEAN.

Bank-bank Malaysia seperti Maybank, CIMB, RHB dan Public Bank, selain syarikat telekomunikasi termasuk DiGi, Maxis dan TM, masing-masing sudah lama bertapak di peringkat serantau.

Penggiat lain di peringkat serantau termasuk YTL, AirAsia dan Malindo, katanya.

"Kita mempunyai asas yang kukuh dalam sektor pembuatan dan tenaga kerja daripada pelbagai etnik dan bahasa yang boleh berkomunikasi secara berkesan dengan kebanyakan pasaran dekat dan jauh," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA