Chef Ketum Sejuk Dicekup


AMPANG: Seorang tukang masak bagaikan mencabar undang-undang apabila menjual minuman khayal ‘air ketum sejuk’ di kawasan parkir terbuka sebuah pangsapuri di sini.

Suspek lelaki berusia 32 tahun itu dikesan memasak sendiri ramuan air ketum yang dicampur ubat batuk sebelum dipasarkan sekitar Taman Keramat di sini.

Kegiatan itu bagaimanapun mengundang padah apabila suspek diberkas Pasukan Khas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang dalam operasi ‘Aggresive Policing’ jam 7.30 petang kelmarin.

Ketika ditahan, suspek menjual bungkusan air ketum yang dimasukkan ke dalam bekas polisterin berisi ais.

Difahamkan suspek kerap berada di lokasi itu untuk membekalkan minuman terbabit kepada penagih dadah yang juga pelanggan tetapnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam operasi itu, suspek diberkas bersama 128 bungkusan air ketum.

Katanya, polis turut menemui 10 botol ubat batuk yang dipercayai digunakan sebagai campuran di dalam air ketum berkenaan.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA