Che Ta Nafi Tuduhan Elak Bayar Cukai

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan, 43, menafikan dakwaan netizen kononnya beliau tidak membayar cukai sehingga disekat daripada mengembara ke luar negara buat sementara waktu.

Menurut pelakon Kiah Pekasam yang juga terkenal sebagai ahli perniagaan itu, beliau tidak lupa menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara dengan membayar cukai yang dikenakan ke atas dirinya.

"Saya bukannya tidak membayar cukai, selama ini. Seperti biasa, saya membayar cukai terkini. Begitupun, tidak dinafikan masih ada sejumlah tunggakan daripada cukai terdahulu.

"Saya tahu dan sedar tanggungjawab saya. Memang saya kena bayar cukai seperti orang lain juga. Cuma, jumlah tunggakan cukai yang perlu saya bayar adalah besar nilainya.

"Saya pula belum mampu untuk menjelaskan bayarannya secara sekali gus. Saya juga sudah mengadakan pertemuan bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara ini," kata Rozita atau Che Ta.

Isteri kepada pelakon Zain Saidin itu berkata demikian ketika mengulas kritikan dan kecaman netizen kononnya beliau mengelak daripada menunaikan tanggungjawab terbabit.

Semalam, Rozita memberitahu hajatnya untuk membawa anak kecilnya, Aaisyah Dhia Rana, menyambut hari lahir keduanya di London, England tidak kesampaian apabila disekat buat sementara daripada mengembara ke luar negara berikutan masalah tunggakan cukai dihadapinya.

Justeru, majlis yang sudah dirancang berkenaan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, semalam dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat selebriti wanita jelita itu.

Menurut Rozita lagi, beliau juga sudah melantik ejen percukaian untuk memudahkan urusannya dalam hal berkenaan.

"Saya menyerahkan 100 peratus urusan pembayaran cukai kepada ejen yang dilantik. Sehingga ini, sudah tiga khidmat ejen percukaian berbeza saya gunakan untuk tujuan itu.

"Ejen pertama dan kedua tidak melakukan tugas mereka sebaik mungkin. Saya harap ejen ketiga ini boleh membantu saya keluar daripada masalah itu," katanya. BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA