CEO ISN Sedia Lepaskan Jawatan Jika Malaysia Gagal Raih Emas Di Tokyo



KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi bersedia melepaskan jawatannya jika kontinjen negara gagal meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mohd Khairi menjelaskan beliau sedia memikul segala tanggungjawab itu dan meletakkan kepercayaan tinggi kepada semua pihak dalam Program Podium, kendalian ISN yang menyediakan perancangan rapi untuk atlet negara.

Beliau percaya semua pihak yang terlibat dalam Program Podium mampu membantu atlet negara meraih pingat emas Olimpik pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Dalam satu temubual program rancangan baru-baru ini, saya diajukan soalan mencabar sekiranya kontinjen negara masih gagal meraih pingat emas...jawapan saya...kepimpinan saya tidak cukup bagus untuk membawa pulang pingat emas.

"Jadi, kita perlu memberi kepercayaan kepada pemimpin baharu lebih kreatif bagi meraih pingat emas buat negara. Jika kita gagal meraih emas di Tokyo, saya akan mengambil tanggungjawab tersebut," katanya pada sidang media pengumuman kriteria pemilihan atlet Program Podium 2017 di ISN, Bukit Jalil, hari ini.

Mengenai kriteria baharu ditekankan dalam Program Podium, Mohd Khairi menjelaskan ciri-ciri atlet untuk menyertai program itu kini lebih ketat dan mendidik mereka menjadi lebih berdisiplin.

Terdahulu, Pengarah Program Podium Tim Newenham menjelaskan terdapat beberapa kriteria baharu akan diambil kira apabila menilai atlet yang dicalonkan seperti kehadiran dan kepatuhan; berfikiran positif dan tahap motivasi tinggi, patuh kepada dasar anti doping serta pengalaman latihan.

"Kita juga akan melihat kepada perbandingan prestasi, pemenang pingat Olimpik, Paralimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Ia juga penting untuk melihat pengalaman mereka sebelum bersaing pada kejohanan utama," katanya.

Katanya atlet yang berada di ranking lapan terbaik dalam sesuatu acara pada Sukan Olimpik dan Paralimpik di Rio, serta pemenang pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia juga layak untuk dipertimbangkan bagi Program Podium.

Beliau berkata Program Podium juga terbuka kepada atlet yang berpotensi memenangi pingat pada temasya sukan akan datang seperti Sukan Olimpik, Paralimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Program Podium adalah platform bagi melahirkan atlet bertaraf dunia berdasarkan prestasi ketika menyertai kejohanan utama antarabangsa. -BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA