Caj Rawatan Di Hospital Kerajaan Kekal Sehingga Kenaikan Baharu Diputus KKM



KUCHING: Caj rawatan di hospital kerajaan termasuk di Sarawak masih kekal sehingga kadar kenaikan baharu diputuskan oleh Kementerian Kesiha­tan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kenaikan ini hanya melibatkan pesakit kelas pertama dan kedua.

Manakala, caj rawatan bagi pesakit kelas ketiga akan dikekalkan mengikut kadar sedia ada di semua hospital kerajaan.

“Setakat ini kita masih belum menerima notis rasmi daripada ke­menterian berhubung kenaikan ini dan rakyat tidak perlu panik kerana kita tidak akan membuat kenaikan secara sembarangan.

“Jika kita lihat kelas pertama dan kedua hanya melibatkan kira-kira dua peratus daripada jumlah pesakit dan jika dinaikkan juga saya yakin ia masih jauh lebih rendah berbanding swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Antibiotik Pering­kat Negeri Sarawak di Auditorium Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.

Kali terakhir KKM menaikan caj rawatan hospital kerajaan termasuk di Sarawak adalah pada 1982 iaitu 34 tahun yang lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebelum ini menge­sahkan bahawa KKM akan menaikkan caj rawatan hospital kerajaan berkuat kuasa Januari 2017.

Kenaikan yang mana kadarnya masih belum diputuskan ini, katanya, adalah wajar memandangkan kos operasi hos­pital yang semakin meningkat.

Menurut Dr Subramaniam, me­skipun caj ini dinaikkan namun kerajaan masih memberi subsidi yang besar kepada pesakit kelas pertama dan kedua.

Kadar bayaran bagi kelas pertama berhawa dingin ialah RM80 semalam dan RM20 semalam bagi kelas kedua manakala kelas ketiga dikenakan caj RM3 semalam.

Caj rawatan bagi pesakit dalam kelas pertama pula dikenakan RM10 sehari seorang, RM5 bagi pesakit kelas kedua dan percuma bagi pesakit kelas ketiga.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA