Bumiputera Sarawak Masih Ketinggalan Dalam Bidang Sains, Matematik



KUCHING - Pelajar bumiputera di negeri ini perlu lebih berani menceburi bidang sains dan matematik memandangkan rekod menunjukkan golongan terbabit masih ketinggalan dalam bidang perubatan.

Pengerusi Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Cawangan Sarawak, Dr. Annuar Rapa’ee berkata, bukti bumiputera Sarawak ketinggalan dalam bidang perubatan boleh dilihat apabila tiada seorang pun kaum Melayu dari negeri ini yang menjadi pakar bedah jantung, otak dan dermatologi setakat ini.

Sehubungan itu, ujarnya, pelajar bumiputera perlu bekerja lebih kuat lagi untuk memecah rekod tersebut.

“Tanamkan semangat dalam diri supaya mahu menjadi individu pertama yang memecah rekod itu.

“Sebagai contoh, saya dulu bercita-cita mahu menjadi orang Melayu Sarawak pertama menjadi pakar neurologi dan alhamdullilah...impian itu menjadi kenyataan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik Anjuran Gagasan Cawangan Sarawak di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA