Budak Merayau Ditemui Di Miri, Ibunya Ditahan Positif Dadah


MIRI: Selepas dua kes budak dijumpai di tempat awam dilapor berlaku di sini sejak beberapa hari lepas, seorang lagi kanak-kanak perempuan ditemui merayau-rayau seorang diri di Taman Yakin di sini, pagi semalam.

Kanak-kanak perempuan terbabit yang dianggarkan berusia dua tahun dijumpai oleh seorang wanita warga emas berusia 59 tahun.

Ketika dijumpai, budak terbabit yang lengkap berbaju biru dan dipercayai berketurunan Iban sedang merayau-rayau seorang diri di sekitar sebuah pusat perubatan swasta di kawasan itu.

Wanita terbabit kemudian membawa budak itu untuk diserahkan ke Balai Polis Pusat Miri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat ketika dihubungi mengesahkan penemuan kanak-kanak terbabit.

Katanya, sebaik diserah, budak perempuan tersebut dirujuk kepada Pegawai Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri sebelum dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan kesihatan dan dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak.

“Beberapa jam kemudian, ibu kepada kanak-kanak itu datang ke balai untuk menuntutnya. Bagaimanapun, ibu berusia 36 tahun itu yang disyaki penagih dadah ditangkap sebaik ujian air kencing ke atasnya didapati positif dadah jenis Amphetamine,” katanya.

Menurut Khoo, pegawai JKM akan menyiasat ibu budak terbabit dari segi pengabaian jagaan terhadap anaknya dan pada masa sama, memohon perintah mahkamah untuk jagaan sementara kanak-kanak itu.

Sehubungan itu, menurut beliau, ibu terbabit akan diambil tindakan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

Ini merupakan kes ketiga kanak-kanak dijumpai merayau-rayau seorang diri di tempat awam di sini dengan kes pertama dan kedua masing-masing berlaku pada Sabtu dan Isnin lalu.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA