Budak Lima Tahun Rentung Dibakar Karya Seni


TOKYO: Seorang budak lelaki berusia lima tahun mati rentung selepas karya seni diperbuat daripada kayu yang dipamerkan pada festival seni Tokyo tiba-tiba terbakar.

Kebakaran yang berlaku Ahad lalu itu menyebabkan api terpercik beberapa meter ke udara, lapor kenyataan dipetik daripada saksi.

Menurut akhbar Asahi Shimbun, seorang lelaki dipercayai bapa kanak-kanak berkenaan menjerit meminta tolong dengan berkata: “Anak saya ada di dalam!”

Malangnya, Kento Saeki disahkan mati di hospital, kata polis tanpa mendedahkan punca kematian rasminya.

Akhbar melaporkan, kanak-kanak itu dipercayai mengalami kesan lecuran teruk yang membawa maut.

Beberapa kanak-kanak lain dilaporkan sempat melarikan diri ketika kejadian.

Struktur itu yang dibina pelajar universiti antara karya yang dipamerkan pada Minggu Reka Bentuk Tokyo, tempat popular untuk keluarga berkumpul pada hujung minggu.

Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui, tetapi Jiji Press memetik satu sumber siasatan mengatakan lampu pijar rosak yang ditemui di tempat kejadian mungkin penyebabnya. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA