Buang Laksa, Penganjur Mohon Maaf


SEBUAH pusat beli-belah di Kuching, Sarawak, akhirnya memohon maaf secara terbuka selepas didapati membuang laksa Sarawak sebaik sahaja tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai Mangkuk Laksa Sarawak Terbesar di Malaysia.

Permohonan maaf daripada pusat beli-belah itu disiarkan dalam Facebooknya selepas menerima kecaman daripada netizen di laman sosial.

"Kami menghargai soal pembaziran makanan yang ditimbulkan oleh orang ramai. Kami memohon maaf kerana gagal memantau keadaan," jelas kenyataan daripada pusat beli-belah berkenaan seperti dilaporkan dalam Oriental Daily.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak berkenaan ingin mengagihkan laksa Sarawak yang diisytiharkan sebagai mangkuk terbesar di negara ini kepada orang ramai, bagaimanapun akibat santan telah basi, rancangan awal untuk mengagihkannya terpaksa dibatalkan.

"Namun demi menunaikan janji, pihak kami pada keesokan hari telah memasak sekali lagi, sebanyak 1,500 mangkuk laksa Sarawak untuk diberikan kepada orang ramai."

Laksa yang mengambil masa hampir 18 jam untuk dimasak itu dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk yang direka khas, membabitkan penggunaan 225 kilogram (kg) bihun dan 80kg ayam, sebagai antara bahan-bahannya.

Namun ia menjadi isu melakukan pembaziran apabila semua laksa itu dibuang begitu sahaja. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA