BNM Terus Pantau Aktiviti Spekulatif Ke Atas Ringgit



KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau aktiviti spekulatif ke atas ringgit dalam Malaysia yang boleh menjejaskan pasaran kewangan negara, kata Gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau menegaskan, bank pusat akan mengambil langkah perlu di bawah rangka kerjanya sekiranya ada kesalahan yang melanggar undang-undang seperti aktiviti yang mungkin menjejaskan penetapan harga ringgit yang sewajarnya.

"Kami membantah aktiviti spekulatif kerana ia tidak mencerminkan urus niaga perdagangan sebenar dalam ekonomi sebenar dan penting bagi kami untuk memastikan paras ringgit mencerminkan asas ekonomi.

"Kami memantau situasi ini, mekanisme penetapan harga adalah amat penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Asian Banking School Global Banking Leaders, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad turut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Bersama antara Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan industri perbankan Malaysia. Beliau diminta mengulas mengenai laporan cubaan oleh kakitangan dua bank terbesar Australia, ANZ Bank dan Macquarie Group, pada tahun 2011 untuk memanipulasikan kadar penanda aras ringgit.

Muhammad berkata, cubaan itu berlaku di luar bidang kuasa Malaysia dan tindakan sedang diambil oleh pengawal selia dari negara lain.

"Ia tidak berlaku di Malaysia, ia berlaku di luar Malaysia. Kejadian ini berlaku pada tahun 2011. BNM sentiasa memantau segala aktiviti di Malaysia dan bukan di luar Malaysia.

"Jadi, jika terdapat sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang atau peraturan BNM, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya. 

Dilaporkan bahawa Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia mengambil tindakan terhadap dua bank itu, mendakwa ia cuba membabitkan diri dalam perlakuan kartel terhadap mata wang Malaysia.

Beberapa kakitangan bank itu di Singapura dikatakan cuba memanipulasikan penetapan harga harian bagi kontrak hadapan ringgit. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA