BNBBC Mahu Penjelasan Duta Besar Myanmar Isu Rohingya

Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) akan mendapatkan penjelasan daripada Kedutaan Myanmar berhubung dakwaan tindakan berterusan tentera negara itu terhadap masyarakat Islam Rohingya.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, BNBBC akan menghantar surat bagi mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Myanmar ke negara ini secepat mungkin.

Katanya, pertemuan itu amat penting bagi mendapat penjelasan berhubung kesahihan gambar-gambar serta video keganasan yang didakwa dilakukan tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu.

“Kita perlu dapat penjelasan kerana penyebaran gambar dan video itu menimbulkan kegelisahan terhadap nasib yang menimpa masyakat Islam di negara itu,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Menurut Shahrir, masyarakat dunia termasuk di Malaysia perlu tahu atau memahami situasi sebenar yang berlaku di negara tersebut apatah lagi ianya memberi gambaran berlaku kezaliman terhadap manusia.

“Kita berharap pihak Duta Besar Myanmar bersedia memberi penjelasan mengenai perkara itu bagi memudahkan kita merancang tindakan susulan sekiranya keganasan itu benar-benar berlaku,” jelas Shahrir lagi.

Dalam pada itu, beliau menyokong kenyataan Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia yang menyeru kepada kerajaan Malaysia agar segera menarik diri daripada kejohanan bolasepak AFF di Myanmar yang sedang berlangsung.

Gesaan tersebut dibuat ekoran tindakan tentera Myanmar yang berterusan membunuh masyarakat Islam Rohingya.

“Keputusan ini dibuat bagi menunjukkan protes negara terhadap pembunuhan dan diskriminasi berterusan kepada kaum Rohingya di negara Myanmar yang tiada kesudahan.

“Kerajaan Myanmar seolah-olah langsung tidak peduli diatas fenomena pembersihan etnik Rohingya yang berlaku selama ini,” kata Pengerusi Biro itu Datuk Hazali Abu Hassan.

Katanya, pasukan bola sepak negara juga pernah menarik diri daripada kejohanan besar sebelum ini kerana memprotes tindakan kerajaan Russia.

Sebelum ini, laporan media antarabangsa melaporkan beribu-ribu penduduk Rohingya di Rakhine, berdekatan dengan sempadan Bangladesh, meninggalkan kampung halaman mereka bagi mengelak menjadi mangsa kekejaman yang didakwa dilakukan tentera Myanmar. - BNBBC News

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA