Bilangan Pelajar Di Pantai Damai Masuk IPT Semakin Meningkat


KUCHING: Peningkatan bilangan pelajar memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) membuktikan ibu bapa sudah memberi penekanan begitu tinggi dalam bidang pendidikan, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata, perkara tersebut juga boleh dibuktikan dengan peningkatan permohonan bantuan perbelanjaan untuk memasuki IPT yang diterima pihaknya.

Menurutnya, kejayaan tersebut diharapkan dapat diteruskan dan menjadi lonjakan semangat kepada anak muda lain.

"Bilangan anak-anak kita pada masa sekarang memasuki IPT semakin meningkat, ini telah dibuktikan kerana banyak permohonan bantuan perbelanjaan untuk masuk ke IPT diterima.

"Saya berharap kejayaan ini diteruskan pada masa akan datang," katanya pada Majlis Khatamal Al-Quran di SK Sibu Laut semalam.

Mengenai bidang pendidikan, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, kemudahan asas di sekolah seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi adalah keperluan untuk memberikan persekitaran kondusif kepada pelajar.

"Ia akan memberi keyakinan kepada pelajar kita dalam mendalami bidang pembelajaran dan seterusnya berjaya dengan cemerlang," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Pendidikan sentiasa mengambil berat tentang Majlis Khatamal Al-Quran dengan menetapkan majlis tersebut dianjurkan pihak sekolah.

"Ibu bapa disarankan supaya meningkatkan kualiti bacaan anak-anak selepas mereka memasuki sekolah menengah.

"Seterusnya ia akan menjadi amalan dan membolehkan mereka memahami isi kandungan Al-Quran untuk bekalan serta panduan," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA