Bilakah Sarawak Akan Buka Syarikat Minyak Sendiri?

Semalam, media melaporkan kerajaan negeri Sarawak melahirkan kegembiraan bila syarikat minyak negara, Petronas menunaikan janji untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Malah Petronas dilaporkan turut memberi lebih banyak peluang kepada anak tempatan untuk menyertai projek dibawah payung syarikat itu.

Disebalik semua itu, terlalu ironi bila kita sebenarnya masih bergantung ihsan kepada Petronas, sebagai syarikat luar.

Dimanakah langkah-langkah awal agar Sarawak memiliki syarikat minyak dan gas sendiri?

Apakah kita sekadar mampu berkokok di Facebook, sambil mencaci serta mencemuh pihak lain sebagai bodoh kerana kononnya mengambil hak kita?

Telah berulang kali pemimpin politik serta netizen di media sosial menyatakan harapan agar Sarawak membuka syarikat minyak sendiri untuk meneroka kekayaan sumber yang ada di negeri ini.

Ternyata kenyataan-kenyataan tersebut hanyalah sebagai pemanis mulut orang politik, bahkan langkah-langkah awal ke arah itu juga tidak kedengaran.

Ironinya, sambil melaungkan slogan “Sarawak for Sarawakian”, berapa lama lagi kita harus mengemis dari Petronas?

Sebelum ini, pemimpin muda dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Abdul Aziz Isa pernah melontar idea agar kerajaan negeri membuka syarikat minyak sendiri, dan tidak lagi bergantung kepada syarikat luar.

Cadangan Abdul Aziz senada dengan seorang menteri kanan Sarawak yang pernah berkata Sarawak memiliki Syarikat yang berpengalaman dalam industri minyak dan gas. Malah syarikat itu dikatakan bersedia mengambilalih tugas Petronas.

Malangnya, kenyataan menteri berkenaan tidak lebih dari sekadar untuk ‘santapan pengamal media’.

Sebenarnya, kalangan rakyat biasa memahami perkara itu tidak semudah seperti yang diperkatakan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA