Bertentang Mata Dengan Mona Fandey



PADA hari pertama Mona Fandey bersama dua orang lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub, Pahang, pada awal 1993, atas tuduhan membunuh, saya bergerak jam 6.30 pagi dari Kuala Lumpur, untuk membuat liputan kes itu.

Sepanjang jalan sejauh 107 kilometer itu, seribu satu soalan bermain dalam fikiran tentang kes paling ngeri yang pernah berlaku di negara ini.

Lega rasanya apabila saya dapati kerusi wartawan di galeri awam mahkamah masih kosong semasa saya tiba.

Jam 9 pagi lagi saya sudah mengambil tempat betul-betul di belakang kandang tertuduh, tempat paling strategik untuk tidak terlepas daripada apa sahaja yang akan disebut dalam perbicaraan.

Rupa-rupanya kes Mona Fandey berlangsung sebelah petang. Sebelah pagi mahkamah mendengar kes lain; kes pembunuhan juga. Mangsanya seorang penjual karpet warga asing yang didakwa ditanam selepas dibunuh akibat cemburu.

Apabila Mona Fandey, suaminya Mohd Nor Affandi Abdul Rahman, dan pembantu mereka, Juraimi Hussein. dibawa keluar dari kenderaan polis di depan mahkamah, petang itu, suasana jadi kecoh.

Orang ramai berkerumun di sekitar mahkamah. Ramai memandang mereka. Ada bercakap sesama sendiri, tetapi ada juga yang jerut marah-marah.

Peliknya, sama ada di luar mahkamah atau di kandang tertuduh, Mona Fandey tidak kelihatan seperti orang berhadapan dengan kes yang begitu berat hukumannya.

Sekejap-sekejap dia bercakap dengan suaminya, melihat orang sekelilingnya, bahkan mampu tersenyum.

Juraimi sahaja lebih banyak diam.

Saya tidak boleh lupa dengan reaksi saya sendiri berhadapan dengan keadaan di mahkamah petang itu.

Setiap kali Mona Fandey menoleh ke belakang, saya akan larikan pandangan atau turut toleh ke belakang.

Saya berada hanya sedepa di belakangnya dan saya kira setiap kali dia menoleh ke belakang, sayalah orang pertama yang mencuri pandangannya.

Barangkali saya tidak berani bertentang mata dengan wanita yang berhadapan dengan kes yang mengerikan itu hingga menggemparkan seluruh negara.

Ketika tuduhan dibaca, barulah kelihatan Mona Fandey berdiam diri. Seluruh ruang mahkamah turut senyap sunyi.

Itu adalah hari pertama kes itu dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub. Perbicaraan ditangguhkan, selepas pihak mahkamah mencatat butir-butir berkaitan penahanan mereka yang dituduh, barang-barang bukti dan jadual untuk perbicaraan selanjutnya.

Sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari mahkamah, keadaan riuh-rendah bermula kembali, tetapi sikap mereka, terutama Mona Fandey, bersahaja.

Seperti ketika tiba dan berada di kandang tertuduh, Mona Fandey, walaupun dengan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis. masih mampu tersenyum dan seolah-olah bergaya di hadapan jurugambar.

Petang itu dia berpakaian baju hitam berbunga terang dan berseluar, pakaian yang nampak lebih sesuai untuk seorang artis.

Bahkan Mona Fandey, yang pada suatu masa pernah menjadi penyanyi, dikatakan pernah menyebut di luar mahkamah: “Macam ramai pula peminat”, setelah nampak ramai yang berkerumun.

Selesai sahaja perbicaraan itu, saya bergegas ke rumah rehat yang tidak jauh dari situ, menaip berita di komputer riba dan menghantar laporan ke ibu pejabat. Laporan dan gambar kes Mona Fandey itu disiarkan di muka depan hampir semua akhbar tempatan.

Kes pembunuhan kejam itu seterusnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh yang diliputi oleh wartawan mahkamah.

Bersama Mohd Nor Affandi, 45, dan Juraimi, 32, Mona Fandey, 46, dihukum gantung sampai mati pada pagi 2 November 2001 pada usia 45, di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi Temerloh, pada 1995, memutuskan mereka bersalah membunuh Adun Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, di sebuah rumah di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 1993.

Kes itu merupakan satu daripada perbicaraan juri yang terakhir di Malaysia.

Sifat sensasi kes berkenaan menyumbang ke arah keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sistem juri dan semua perbicaraan pihak juri telah dimansuhkan pada 1 Januari, 1995.- Sinar Harian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA