BERSIH 5 : TDM Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan Rusuhan



KOTA SAMARAHAN: Seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya rusuhan pada perhimpunan BERSIH 5.0 yang dijadualkan hari ini.

Perkara itu ditegaskan Pang-lima Tiga Briged Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin pada majlis malam akrab program modul ketenteraan Kursus Diploma Pasca Siswazah Pengurusan Awam (DPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Siri Pertama 2016/2017 di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang di sini malam kelmarin.

Malah, beliau memberitahu warga TDM juga bersedia untuk digerakkan di setiap lokasi di seluruh negara sekiranya pihak berkuasa awam memerlukan bantuan.

“Semua kita maklum tentang 19 November ini iaitu perhimpunan BERSIH 5.0, jadi seluruh warga TDM di setiap pelosok negara turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Apa sahaja yang diperlukan oleh pihak berkuasa awam kita akan bantu tanpa memberi sebarang alasan,” katanya.

Selain itu, Bustaman men-dedahkan warga TDM juga bersedia mengambil alih tampuk kepimpinan sekiranya negara ini berada dalam keadaan darurat.

“Kita juga mempunyai bekalan dan kemudahan yang mencukupi yang diperlukan orang ramai ketika waktu darurat,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat tidak memandang serong peranan anggota keselamatan dalam memelihara kedaulatan di negara ini.

Mengenai majlis itu, beliau memberitahu kursus itu diadakan untuk memberi pengetahuan berkaitan organisasi, peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pelatih DPA.

“Pada masa sama pengetahuan berkaitan ketenteraan dari aspek strategi, operasi dan taktikal juga diserapkan bagi membolehkan setiap pelatih memahami tugas ATM khasnya dan TDM amnya,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah Wilayah INTAN Sarawak Dr Jasmine Edmund Andrew, Kolonel Operasi Pemerintah Medan Timur Tentera Darat Kolonel Marzuki Mokhtar, Ketua Staf Markas 1 Divisyen Kolonel Isa Daud, Pegawai Memerintah Batalion Ke-16 Rejimen Renjer Diraja Lt Kol Azman Zainudin dan tetamu kehormat lain.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA