Bersih 5 : "Jangan Marah Kalau Kita Ambil Tindakan" - KPN


KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran keras untuk mengambil apa sahaja tindakan bagi mengelakkan perkara buruk sepanjang perhimpunan Bersih 5.0 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun berkata, setiap tindakan yang diambil pihaknya adalah mengikut peruntukan undang-undang.

"Jangan marah kita kalau kita ambil beberapa langkah terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang ini.

"Apa juga akan kita gunakan untuk mengelakkan perkara buruk berlaku dan kita guna mengikut peruntukan undang-undang. Kalau tembak air pun, kita akan mengikut cara yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Kerjasama Latihan Polis Asean (Aseanapol) di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, Selasa.

Sehubungan itu Khalid menasihatkan kepada semua pihak supaya mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, polis telah melakukan persiapan bagi menjamin keamanan dan ketenteraman awam sekiranya penganjur Bersih 5.0 tetap meneruskan perhimpunan dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Tambah Khalid, ini termasuk kumpulan Baju Merah atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perhimpunan Sabtu ini.

"Kita sudah bersedia. Anggota kita cukup untuk memastikan keselamatan," katanya.

Notis yang diberi penganjur setakat ini masih belum memenuhi syarat-syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Ditanya mengenai jalan-jalan yang akan ditutup berikutan himpunam Bersih 5.0, Khalid berkata, perkara itu akan dimaklumkan kemudian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA