Bersedia Hadapi Tindakan – KPN



KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras dan tidak akan ter­agak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peserta Bersih 5.0 dan Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) sekiranya ingkar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 pada Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pa­sukan keselamatan juga mungkin menggunakan gas pemedih mata bagi mengelakkan perkara buruk berlaku ketika berlangsungnya perhimpunan haram itu yang dijangka diadakan di tengah ibu kota ini.

Beliau juga melahirkan rasa kesal apabila terdapat sesetengah pihak yang cuba mentafsir undang-undang sendiri kononnya telah memberi notis lengkap.

“Kita sudah bersedia dan jangan marah sekira­nya tindakan diambil nanti. Antara masalah yang dihadapi adalah mereka tidak memberi notis secukup­nya menyebabkan kita tidak tahu jalan mana yang akan ditutup selain sukar membuat persediaan.

“Kuning cakap dia akan berhimpun di kawasan dataran merdeka, merah pula menyatakan akan mengikut di mana kumpulan kuning berada,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Kerjasama Latihan Polis ASEAN (APTCM) ke-7 di Maktab PDRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, anggota polis akan ditempatkan secukupnya bagi mengawal perhimpunan berkenaan selain meminta orang awam supaya tidak bimbang dan risau mengenai ke­selamatan mereka.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyatakan mesyuarat APTCM yang diwakili ke­tua-ketua latihan Polis ASEAN (Aseanapol) dan rakan dialog (Australia, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Russia, Turki) itu akan membincangkan keperluan latihan, serta cadangan latihan melibatkan semua pegawai polis di dalam ASEAN.

Ujarnya, latih­an bukan sahaja dilakukan di Malaysia tetapi turut melibatkan negara ASEAN serta rakan dialog atau mana-mana pusat latihan di sekitar ASEAN.

“Ini merupakan inisiatif Aseanapol yang melihat aspek latihan pegawai yang sema­kin mencabar. Terdapat enam langkah bagi meningkatkan kepolisan di masa hadapan antaranya, melibatkan warganegara melalui pelbagai saluran di samping meramal dan meningkatkan perkhidmatan melalui analisis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khalid turut menafikan dakwaan Malaysia sebagai markas Macau Scam sebaliknya dipilih kerana mempunyai kemudahan perhubungan serta internet berkelajuan tinggi.

Jelasnya, kegiatan sindiket berkenaan dapat dikesan dan hanya memerlukan sedikit ma­sa untuk menyekat serta menahan mereka yang terlibat. - Utusan Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA