Berperang Kerana Monyet


TRIPOLI: Hanya kerana seekor monyet, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam perbalahan membabitkan beberapa puak di Libya, baru-baru ini.

Menurut portal Metro.uk, kejadian itu berlaku di bandar Sabha apabila sekumpulan tiga lelaki sengaja melepaskan seekor monyet yang kemudiannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan.

Susulan insiden tersebut, keluarga budak perempuan itu kemudiannya bertindak membalas dendam dengan membunuh ketiga-tiga lelaki dan monyet berkenaan.

Namun hal berkenaan tidak berakhir setakat itu apabila pertempuran tercetus antara beberapa puak sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 orang maut.

Aktivis sosial, Bader al-Daheli berkata, perbalahan itu melibatkan dua puak utama, Alwad Suleiman dan Gadhadfa, yang masing-masing disokong oleh kumpulan bersenjata.

Pengarah Hospital Sabha, Abdel-Rahman Areish berkata, sekurang-kurangnya 50 orang turut dilaporkan cedera akibat pertempuran itu.

Tiga lelaki yang dibunuh kerana melepaskan monyet berasal dari puak Gaddadfa manakala keluarga kanak-kanak itu merupakan puak Awlad Suleiman.

Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, perbalahan itu semakin sengit pada hari kedua dan ketiga pertempuran apabila mereka menggunakan kereta kebal, mortar dan senjata berat untuk bertempur.

Kedua-dua puak terbabit mewakili kumpulan bersenjata paling kuat di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun pihak Reuters gagal menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mengesahkan kejadian tersebut.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA