Berlatih Dua Jam, Ziana Zain Hampir Tarik Diri Daripada Konsert



KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Ziana Zain kecewa Konsert High Note 2016 yang dijayakan bersama Azlan Typewriter dan Jaclyn Victor di Istana Budaya (IB) di sini, malam tadi, 'huru-hara' dan tidak berlangsung seperti dirancang.

Lebih mengejutkan, Ziana menyifatkan konsert anjuran DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagro itu sebagai paling teruk yang pernah dijayakan sepanjang hampir tiga dekad bergelar anak seni.

"Apa yang anda semua saksikan tadi adalah latihan saja dan bukannya konsert sebenar. Terus-terang, kami semua langsung tidak berlatih dengan muzik sehinggalah hari ini.

"Kami hanya mula menjalani latihan petang tadi dan itupun dalam masa yang cukup singkat iaitu lebih kurang dua jam.

"Kami dan pemuzik melakukan kerja gila hari ini. Kalau daripada segi semangat yang kami tunjukkan, memang sangat luar biasa tetapi daripada aspek penganjuran dan produksi, konsert ini adalah paling teruk sepanjang saya menjadi penyanyi," dedah pemilik nama Siti Roziana Zain pada sidang media sejurus konsert yang diadakan di Panggung Sari, itu berakhir.

Hadir sama, Jaclyn dan penerbit konsert yang juga wakil penganjur, Mohd Hidayat Mohd Shah.

Kelibat Azlan bagaimanapun langsung tidak kelihatan sehinggalah sidang media berakhir.

Tambah penyanyi berusia 48 tahun ini, disebabkan tertekan dengan apa yang berlaku, mereka hampir menarik diri.

Namun, kata Ziana, apabila memikirkan penonton sudah membeli tiket serta nasihat daripada pihak pengurusan IB, hasrat itu terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Hidayat menjelaskan kelemahan yang timbul sepanjang konsert itu berlangsung adalah disebabkan masalah teknikal.

"Saya tak salahkan penyanyi dalam hal ini. Saya akui sangat puas hati dengan persembahan mereka. Apa yang boleh saya katakan, berlaku masalah teknikal. Saya akan cuba bertanyakan hal ini kepada produksi.

"Ini adalah kali pertama kami menganjurkan konsert sebesar ini. Kami bertanggungjawab dalam hal ini dan kami meminta maaf atas apa yang berlaku," katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian

Antara insiden yang jelas menunjukkan konsert itu berlangsung tanpa persediaan rapi adalah penyanyi masih mencari key suara yang sesuai di atas pentas, pemuzik dilihat teragak-agak dan menanti isyarat untuk mengiringi nyanyian artis serta lagu yang dipersembahkan terutama Ziana tidak seperti yang dijanjikan.

Penyanyi bersuara lantang itu hanya menyanyikan sebanyak lima lagu berbanding 10 lagu termasuk Berpisah Jua yang disampaikan dalam versi Acapella. Itupun sekadar bahagian korus saja.

Konsert di bawah bimbingan pengarah muzik Rudi Muhamnad itu berbaki dua persembahan lagi iaitu malam ini dan malam esok.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA