Beri Perhatian Kepada Pendidikan Anak


KUCHING: Kesibukan mencari pendapatan bukan alasan untuk ibu bapa untuk tidak mengambil berat tentang pendidikan anak masing-masing, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, ibu bapa sepatutnya bijak membahagi masa dan memberi perhatian khusus kepada anak.

Malah menurutnya, sekiranya perhatian sewajarnya dapat diberikan, sudah pasti ia akan menjadi dorongan kepada anak untuk terus berjaya dalam akademik.

"Beri perhatian khusus kepada anak-anak kita walaupun sesibuk mana kita dalam mencari nafkah.

"Jika anak berjaya, ia akan menjadi kebanggaan ibu bapa," katanya pada Majlis Graduasi dan Apresiasi SK Pulo semalam.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, beliau sendiri sejak terlibat dalam bidang politik amat memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan.

"Kita sepatutnya bermula awal untuk melihat bagaimana untuk meningkatkan pendidikan.

"Ibu bapa juga sepatutnya membantu dalam meneruskan dan meningkatkan pembangunan pendidikan kerana semua pihak memainkan peranan penting," ujarnya.-Sarawakiana




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA