Berhenti Cuba Lagakan Kerajaan Negeri Sarawak Dan Kerajaan Pusat


PETRA JAYA: Pejabat Ketua Menteri Sarawak menafikan kenyataan yang tersebar di laman sosial bahawa negeri ini tiada pilihan lain kecuali keluar dari Malaysia jika kuasa autonominya tidak dikembalikan oleh Kerajaan Pusat.

Dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi, ia turut menegaskan bahawa Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan seperti yang menjadi viral di laman sosial.

"Dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Ia secara terang-terangan bertujuan menjatuhkan reputasi Ketua Menteri, selain cubaan menjejaskan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Ketua Menteri berulang kali menyatakan pendirian bahawa Sarawak tidak akan berpisah dari Malaysia, namun ia tidak bermakna negeri tidak boleh menuntut hak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan Perjanjian Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang menjadi viral menerusi laman Facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021', ia memetik bahawa kalau kuasa autonomi Sarawak tidak dikembalikan, maka tiada pilihan lain selain keluar daripada gabungan Malaysia, dengan turut memaparkan gambar Adenan sedang berucap. - BH

1 comment:

  1. sebelum itu adenan kena berhenti kata polisi pusat bodoh dan sebagainya.

    ReplyDelete

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA