Beng Kor Mahu Kerajaan Persekutuan Memohon Maaf


KUCHING: Pengendali laman sosial Facebook 'Sarawak Keluar Malaysia 2021', Beng Kor mahu kerajaan persekutuan memohon maaf kepadanya dan seluruh rakyat Sarawak kerana didakwa melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana menurunkan status Sarawak kepada negeri ke-13 pada tahun 1976.

Beliau berkata, menurunkan status Sarawak telah melanggar perjanjian Konvensyen Vienna kerana Sarawak tidak masuk Malaysia.

"Saya mahu kerajaan persekutuan meminta maaf kepada saya dan orang Sarawak berhubung perkara ini. Walaupun ketika itu (1976) bukan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

"Menurunkan status Sarawak ternyata melanggar perjanjian Konvensyen Vienna. Ini kerana Sarawak tidak masuk Malaysia sebaliknya membentuk Malaysia pada 1963," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beng Kor juga mahu kerajaan persekutuan melihat balik mengenai MA63 terutama melibatkan hak Sarawak.

"Saya bukan ahli politik dan saya bersuara untuk seluruh rakyat negeri ini," ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara keseluruhan gagal menyuarakan mengenai hak Sarawak.

"Ada 82 YB (ADUN) di DUN, berapa sahaja yang bercakap mengenai perkara ini," jelasnya.

Menurutnya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan membabitkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

"Apa yang saya tulis adalah pandangan 'page' (Sarawak Keluar Malaysia 2021) bukan Tok Nan (Adenan) yang cakap. Sebenarnya penulisan saya telah disalah tafsir dan saya difitnah sehingga 16 laporan polis dibuat ke atas saya," kata Beng Kor.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA