Belum Dapat Perkenan Adenan, BERSIH Berkeras Mahu Guna Panggung Udara


KUCHING: Biarpun masih belum mendapat kebenaran daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, jawatankuasa BERSIH 5 tetap berkeras mahu menggunakan Panggung Udara sebagai venue perhimpunan aman pada 19 November ini.

Naib Pengerusi BERSIH Sarawak, Ann Teo berkata, permohonan untuk menggunakan Panggung Udara daripada Pejabat Ketua Menteri masih belum mendapat maklum balas.

"Kami akan mempertahankan hak-hak untuk mengadakan perhimpunan secara aman. Kami juga percaya polis akan membantu dalam penganjuran perhimpunan ini nanti.

"Oleh itu kami meminta rakyat Sarawak melaksanakan hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia menyertai perhimpunan aman yang diadakan di Panggung Udara, Jalan Budaya pada 19 November ini," katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ann menjelaskan, jawatankuasa penganjur BERSIH 5 mengambil keputusan meminta pertolongan Ketua Menteri mendapatkan kebenaran menggunakan Panggung Udara sebagai lokasi perhimpunan itu.

Tindakan itu diambil jelasnya selepas Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menolak permohonan mereka tanpa sebab atau mengemukakan alternatif lain.

Katanya lagi, Jawatankuasa BERSIH 5 juga mendedahkan bahawa pihaknya hampir pasti menggunakan Panggung Udara bagi tujuan tersebut.-Sarawakiana





No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA