Belia perlu berfikiran kritis hadapi ledakan teknologi, kata Dr Annuar

Image result for annuar rapaee'
SIBU: Pemikiran kritikal penting bagi Generasi Y (Gen-Y) bagi menghadapi ledakan teknologi masa kini dalam menerima maklumat diperolehi di media sosial.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi) Dr Annuar Rapa’ee berkata, penting bagi golongan ini menapis serta meneliti kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai maklumat tersebut.

“Memperolehi sesuatu maklumat amat mudah pada masa kini dengan kecanggihan teknologi maklumat,” katanya.

Jelasnya, kita perlu berfikiran lebih luas dan kritikal mengambil langkah memperhalusi dan membuat kaji selidik sebelum memberi pendapat mengenai maklumat tersebut khususnya maklumat membawa kesan kepada kehidupan,” ujarnya.

Beliau berkata demikan semasa merasmikan Program Apa Kata Gen-Y di Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) di sini, semalam.

Program tersebut dianjurkan Jabatan Penerangan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sereta pihak UCTS.

Menurut Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Gen-Y bukan sahaja menghadapi cabaran hebat disebabkan kemajuan teknologi maklumat tetapi perlu menggalas tanggungjawab besar sebagai pemangkin kepimpinan negara pada masa akan datang.

Justeru katanya, Gen-Y perlu mempunyai pemikiran lebih kritikal dalam menilai segala maklumat dipaparkan di media sosial tanpa perlu terburu-buru mempercayai hanya kerana ia diperolehi melalui Internet.

“Gen-Y tidak wajar mengguna hak kebebasan bersuara sebagai rakyat negara demokrasi dengan menyampaikan apa yang tidak betul atau tidak sahih dan tidak mempunyai fakta.

“Amalan demokrasi adalah amalan baik tetapi jangan mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat daripada Internet yang tidak mempunyai kesahihan dan terburu-buru menyampaikan pendapat anda kerana kita juga perlu mendengar suara orang lain,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Sukari Abdul Hamid dan Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Abdul Hamimi Juri. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA