Bawa Mahathir Ke Parlimen Hanya Gimik Politik


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan tindakan ahli Parlimen pembangkang menjemput bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen tidak lebih kepada sekadar gimik politik.

Tindakan mereka itu katanya sekadar menunjukkan mereka begitu terdesak sehingga perlu mendapatkan sokongan daripada pihak luar.

“Saya hairan kenapa pembangkang tidak menggunakan Peraturan Mesyuarat sedia ada bagi membawa usul untuk dibincangkan sesuatu perkara yang tidak dipersetujui di dalam Dewan Rakyat.

“Saya berpandangan kehadiran Dr Mahathir tidak akan membawa apa-apa makna kepada sistem Parlimen hari ini,” kata Azalina dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Azalina, pada 26 Februari 2009 lalu mendiang Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh pernah membawa usul kepada Dewan Rakyat berhubung isu penahanan beliau di Parlimen .

Usul berkenaan telah diluluskan dan satu Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut.

“Jawatankuasa tersebut juga turut dianggotai oleh Ahli Parlimen BN dan Pembangkang yang mana Lim Kit Siang (Ipoh Timur) juga antara ahlinya.

“Dewan Rakyat mempunyai mekanisme dan prosedur tersendiri untuk mengadili sesuatu perkara itu secara adil dan saksama,” katanya.

Justeru Azalina meninggalkan persoalan berikut kepada pembangkang yang menyebut, mampukah Reformasi Parlimen yang kita telah laksanakan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini direalisasikan ketika zaman beliau menjadi Perdana Menteri?- Bnbcc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA