Bangunan Kerajaan Diwajibkan Latihan Kebakaran Sekali Setahun


Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewajibkan setiap bangunan kerajaan mengadakan Latihan Kecemasan Kebakaran sekali setahun bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk berlaku.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007, Ketua Jabatan boleh memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memberi khidmat nasihat dan latihan yang diperlukan.

“Tujuan Latihan Kecemasan Kebakaran adalah supaya penghuni bangunan bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan di samping memastikan sistem keselamatan kebakaran di setiap bangunan berkenaan berfungsi dengan baik,” jawab Noh semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Latihan tersebut diwajibkan untuk mana-mana bangunan kerajaan yang termasuk di dalam kategori di atas perlu mengadakan Latihan Kecemasan Kebakaran kecuali tempat kediaman seperti kuarters, rumah pangsa serta kondominium dan sebagainya.

Selain bangunan kerajaan, 9 jenis premis lain juga diwajibkan mengadakan latihan iaitu perpustakaan, hospital, hotel, asrama, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan dan storan.

Sementara itu, berhubung isu pili bomba tidak berfungsi yang dibangkitkan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Noh berkata pihak bomba juga memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mendapatkan aduan berhubung mana-mana pili yang tidak berfungsi.

“Untuk kita pastikan rakyat bersama-sama dengan pihak jabatan untuk mengatasi masalah kebakaran ini maka beberapa program telah kita wujudkan dan di rumah kawasan PPR kita bercadang untuk wujudkan Bomba Komuniti sekurang-kurangnya mereka dapat beri kerjasama dan maklumkan kepada pihak bomba jika ada paip bomba yang tidak berfungsi,” katanya.

Pelbagai inisiatif dan aktiviti kesedaran dilaksanakan oleh JBPM di seluruh negara merangkumi semua lapisan masyarakat seperti ceramah, demonstrasi dan pameran kebombaan.

Sehingga bulan Oktober 2016 sebanyak 4,301 ceramah, 3,791 demonstrasi dan sebanyak 1,406 pameran kebombaan telah diadakan di seluruh negara termasuk 1,578 kali Latihan Kecemasan Kebakaran.

Bagi meningkatkan kesedaran awam dalam aspek pencegahan kebakaran, sebanyak 1,556 pasukan Bomba Komuniti dan 180 pasukan MyBomba JPP telah ditubuhkan sehingga Oktober 2016 melibatkan 20,628 bilangan ahli kedua-dua program tersebut.

Bulan lepas, negara dikejukan dengan insiden kebakaran tragis di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang mengorbankan beberapa nyawa.

HSA juga ditutup sementara waktu dan pesakit-pesakit juga dipindahkan ke hospital berdekatan sekitar Johor.-bnbbc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA