Bajet Lulus: Pembangkang Tewas, PAS Berkecuali

Bajet 2017 Lulus: Pembangkang Tewas, PAS Berkecuali
Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin malam meluluskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 atau Bajet 2017 selepas berdepan undian belah bahagi yang dituntut oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, dalam undian tersebut pihak kerajaan memperolehi 117 undi manakala pembangkang hanya mendapat 70 undi.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan persidangan itu turut mengumunkan 11 ahli parlimen tidak mengundi.

Mereka yang berkcuali itu adalah barisan ahli-ahli parlimen daripada PAS.

Perkembangan ini agak menarik.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengundi bersama ahli-ahli pembangkang lain.

Pembangkang menuntut undian belah bahagi selepas Menteri Kewangan 11, Datuk Johari Abdul Ghani selesai menggulung perbahasan kira-kira jam 10.10 malam.

Hampir setiap tahun mereka akan menuntut undian belah bahagi bagi menolak bajet yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, Bajet 2017 yang dibentang oleh Najib pada 21 Oktober lalu dibahaskan selama enam hari bermula 24 Oktober lalu oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional dan pembangkang.

Sementara itu, tiga hari diperuntukkan kepada 25 kementerian bagi penggulungan yang berakhir hari ini.

Semasa perbahasan bajet kali ini, blok pembangkang berterusan menyerang syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengungkit tindakan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) walaupun sudah dilarang oleh Speaker memandangkan ia bersifat ‘subjudis’ kerana masih dalam pertimbangan mahkamah.

Najib yang juga Menteri Kewangan pada 21 Oktober lalu membentangkan bajet dengan tema ‘Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat,’ yang menyenaraikan beberapa langkah dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara berikutan ketidaktentuan di peringkat global.

Bajet kali ini dibentang dengan diperuntukkan sejumlah RM260.8 bilion, merupakan peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

Daripada jumlah tersebut, RM214.8 bilion adalah Perbelanjaan Mengurus dan RM46 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

Di bawah Peruntukan Mengurus, RM77.4 bilion adalah untuk Emolumen, serta RM32 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan.

Manakala, RM103.9 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula, diperuntukkan RM691 juta, dan RM816.6 juta lagi, untuk perbelanjaan lain.

Sementara itu, bagi Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM25.9 bilion, diikuti oleh sektor sosial RM12.2 bilion. Sektor keselamatan mendapat RM5.3 bilion, dan sektor pentadbiran am lebih RM2.5 bilion.

Diunjurkan, berdasarkan prestasi semasa, hasil 2017 dijangka berkembang sekitar tiga peratus iaitu kepada RM219.7 bilion dan sasaran kerajaan untuk defisit fiskal adalah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017. - Mynewshubb

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA