Ayrill Hilang Selepas Seronok Hidup Gelandangan


KUALA LUMPUR: Akibat bimbang dimarahi, Noor Ayrill Aqasha Noor Shahril mengambil keputusan untuk tinggal bersama gelandangan di Chow Kit selama beberapa hari sebelum ditemui Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata, penjelasan itu susulan rakaman keterangan percakapan kanak-kanak tersebut bersama bapanya, Noor Shahril Yusmarizal, 39, dan ibunya Siti Rohayu Yaacob, 37.

Menurutnya, mangsa bimbang dimarahi bapanya kerana sudah lewat malam untuk pulang ke rumah dan mengakui seronok mengikuti kehidupan gelandangan di Chow Kit bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Ari.

Jelasnya, mangsa telah menaiki bas Rapid KL ke Pudu untuk berjumpa dengan Ari berusia 13 tahun di Chow Kit sebelum menetap di rumah gelandangan selama beberapa hari dan enggan pulang ke rumah kerana seronok diberikan makanan percuma daripada orang awam setiap malam.

Katanya, mangsa pernah berjumpa dengan Ari yang tidak bersekolah di belakang taman pusat membeli belah Pusat Konvenysen Kuala Lumpur sebelum kejadian.

“Mangsa pada awalnya tidak mahu balik kerana takut dimarahi ayahnya dan apabila mengikut Ari, mangsa berasa seronok mengikuti kehidupan gelandangan kawasan Chow Kit.

“Selepas menyedari dia sudah kehabisan wang, Noor Ayrill Aqasha menaiki bas percuma Go-KL untuk ke rumah ibunya tetapi terlupa jalan ke rumah ibunya dan membuatkan dia hilang arah diperhentian bas sebelum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA INI: Budak Hilang Sejak 31 Okt Ditemui Di Hentian Bas

Chong berkata, mangsa tinggal bersama Ari sebagai gelandangan di Chow Kit sejak 29 Oktober lalu sebelum menaiki bas percuma untuk ke rumah ibunya pada Sabtu lalu.

Menurutnya, ibu bapa Noor Ayrill Aqasha telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 8 malam Ahad untuk memberikan keterangan berhubung perkara ini.

“Kanak-kanak ini akan pulang dan tinggal bersama ibunya dan kedua ibu bapa berjanji akan memastikan tidak akan mengabaikan anak mereka pada masa depan,” katanya.

BACA INI: Ibu Risau Noor Ayrill Aqasha Hilang Sejak 31 Oktober

Kehilangan Noor Ayrill Aqasha menjadi bualan hangat di media sosial selepas keluarganya meminta bantuan netizen dan pihak berkuasa untuk mencari kanak-kanak itu yang keluar dari bilik sewa bapanya di Jalan Jejaka 5, Taman Maluri, Isnin lalu.

Pencarian akhirnya berhasil apabila, Noor Ayrill Aqasha ditemui dalam keadaan selamat oleh abang rakannya, Mohd Ismail Abdullah, 15, di sebuah perhentian bas di Bukit Ampang, kira-kira jam 7,30 petang, Sabtu lalu. –MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA