Ayam Sutera Belgium


KUALA LUMPUR: Bulunya yang lembut dan halus seperti kucing siam dan tubuhnya yang putih mulus membuatkan Effie Norizal Rasmi, 35, sanggup terbang ke Belgium bagi mendapatkan baka asli ayam sutera yang jarang dipelihara di negara ini.

Menurut Effie, hobi memelihara ayam bermula sejak 2012 dan hobinya itu turut menjana pendapatan keluarganya.

Katanya, dia memelihara 14 spesies ayam dan paling istimewa adalah ayam sutera.

“Saya membuat reban sendiri untuk membela pelbagai jenis ayam di kawasan rumah dan kini saya mempunyai 14 spesies ayam termasuk ayam sutera.

“Saya import ayam sutera dari Belgium dengan harga RM1,500 untuk trio. Trio bermaksud seekor jantan dan dua ekor betina,” katanya yang berasal dari Perlis.

Effie berkata, bermula dengan hanya tiga ekor ayam dia kini berjaya menternak dan menjual lebih 300 anak ayam sutera dalam tempoh empat tahun.

“Tidak pernah terfikir untuk jual ayam sutera tetapi banyak permintaan terutama rakan yang ingin membeli daripada saya. Tambahan pula, pembiakan ayam sutera yang saya lakukan menjadi dan dari situ saya mula menjualnya.

“Harga anak ayam sutera bermula daripada RM10 hingga RM60 saja manakala harga bagi ayam sutera yang matang adalah RM500 dengan berat antara 1.5 kilogram (kg) hingga 2kg.

“Bagaimanapun, harga bergantung kepada bulu dan saiz ayam sutera,” katanya.

Menurut Effie, bagi menjaga bulu gebu ayam sutera bukan sesuatu yang mudah kerana habitat ayam berkenaan sama seperti ayam biasa.

“Ayam ini tidak boleh ditempatkan di lantai bersimen yang tidak mempunyai tanah kerana ayam sutera makan pasir.

“Pasir itu berfungsi untuk memudahkan makanan dicerna dan menyerap hingga 70 peratus zat. Jika dipelihara di lantai bersimen yang tidak mempunyai pasir, ayam hanya dapat menyerap 30 peratus saja zat dan ini mungkin akan mengganggu sistem tumbesaran haiwan itu,” katanya.

Effie berkata, setiap enam bulan dia akan pastikan semua ayam suteranya mendapat suntikan vaksin.

Menurutnya, ayam sutera ini bukan saja dijual untuk dipelihara, malah ramai pelanggan membeli untuk dijadikan lauk kerana dagingnya lebih sedap daripada ayam kampung.-myMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA