Aram Ngupi : Cikgu Oh Cikgu



Kedai kopi berhampiran Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak menjadi pilihan menghirup kopi '0' panas kurang gula. Walaupun kedai agak baru, pelanggan ramai yang terdiri daripada bakal guru dan guru-guru yang mengajar sekolah berhampiran.

Sudah pasti isu Institusi Pendidikan Guru yang menjadi tajuk hangat. Pelbagai pendapat didengari dan ada yang setuju dan ada yang tidak setuju apabila sesetengah IPG akan ditutup dan ditukar peranannya.

Ada yang mengatakan, lebih baik IPG dinaik taraf kepada tahap Universiti memandangkan guru seharusnya memiliki ijazah memandangkan ramai guru menyambung pelajaran ke universiti seperti Universiti Terbuka Malaysia (OUM) untuk mendapat Ijazah.

Walaupun OUM mempunyai jadual fleksibel bagi guru untuk menghadiri kuliah tetapi kos yang tinggi menjadi bebanan guru-guru berkenaan.

Ada juga berpandangan bersetuju untuk ditutup satu atau dua IPG di Sarawak kerana Sarawak akan mengalami lambakan guru tempatan suatu hari jika melihat kepada populasi Sarawak yang lambat berkembang. Penduduk Sarawak kini baru menjangkau tiga juta penduduk dan sekitar 40% adalah penuntut sekolah.

Penurunan kuasa terhadap 90% anak watan Sarawak harus mengajar di Sarawak juga menjadi penyebab mereka bersetuju IPG ditutup. Kesukaran guru Sarawak untuk mengajar diluar Sarawak akan menjadi masalah lambakan guru di negeri ini.

Penulis tidak berani menghuraikan alasan-alasan yang mereka kemukakan memandangkan setiap tindakan ada Pro Kontranya. Biarlah kerajaan membuat keputusan yang bijak agar guru-guru tidak menghadapi masalah kemudian hari.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA